Panduan untuk semua suri rumahtangga..
Cara pelihara khasiat sayur-sayuran
Cara paling baik untuk mendapat khasiat sepenuhnya daripada sayur-sayuran ialah dengan memakannya sebaik saja selepas dimasak. Oleh sebab itu, apabila anda masak sayur-sayuran di rumah, masaklah dalam jumlah secukupnya untuk sekali hidang.
Berbeza daripada lauk ikan atau daging, lauk sayur akan kehilangan banyak zat dan khasiatnya apabila dipanaskan semula selepas ia sejuk. Bukan itu saja, warna sayur-sayuran juga akan berubah menjadi pusam, lantas tidak menarik apabila dimasak terlalu lama atau diulang masak.
Berikut beberapa panduan tentang cara yang baik untuk masak beberapa jenis sayur :
• Sayur-sayuran hijau saperti bayam, cekur manis dan sawi batang putih sebaiknya dimasak berkuah. Tetapi kuahnya perlu dididihkan terlebih dahulu, baru masukkan sayur dan masak selama kira-kira lima minit saja. Sayur-sayuran seperti ini jika dimasak terlalu lama akan menjadi terlalu lembik atau lodoh dan tidak lagi menyelerakkan.
• Sayur seperti kangkung dan tauge juga termasuk dalam kalangan sayur yang mudah lembik. Jadi kedua-duanya perlu dicelur saja sebelum dimakan bersama rojak, dijadikan urap atau kerabu dan sebagainya. Begitu juga dengan kubis. Jika dimasak lemak atau lain-lain masakan berkuah yang sesuai, masukkan kubis hanya selepas kuah mendidih dan segera matikan api. Jika hendak dijadikan campuran dalam makanan seperti gado-gado atau dibuat urap, sebaiknya kubis dibersihkan dan dipotong, kemudian dicelur saja.
• Cara terbaik untuk mendapatkan khasiat sayur-sayuran seperti brokoli, lobak merah dan kubis brussels yang tergolong dalam sayur-sayuran 'keras' ialah dengan dikukus saja, kemudian baru dimakan bersama pencecah yang sesuai. Jika besar, lobak merah hendaklah dikikis kulit arinya dan dibuang empulurnya. Jika ia kecil, tidak perlu dikikis kulit arinya. Cukup hanya buangkan kedua-dua belah hujungnya dan potonglah ikut saiz sesuai keperluan anda. Malah, lobak merah jenis putik atau baby carrot boleh dimasak langsung.
• Sayur-sayuran yang dimakan mentah sebagai ulam sebaik-baiknya dicuci kemudian direndam sebentar dalam air batu, baru ditos dan dihidangkan. Ini dilakukan agar sayur-sayuran itu 'garing' dan enak dimakan.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen di dlm blog ini... Harap sudi singgah lagi.. :D